Thursday, May 1, 2014

Jom jadi JUTAWAN ! TARGET !

Salam Sejahtera ,
Adakah anda berminat untuk mencapai status sebagai seorang "jutawan" di dalam kehidupan anda? Ye itu target saya ! Impian saya ! Saya dah puas tengok orang berjaya ! Saya tak boleh biarkan keadaan itu berleluasa ! Saya pasti boleh berjaya menjadi Jutawan . Tak mustahil kan ? Semua boleh jadi jutawan andai pandai berusaha . Bukan tengok saja .

Adakah anda ingin nama anda disebut sebaris dengan ratusan jutawan lain yang sudah terdapat di dalam negara Malaysia?

Adakah anda inginkan status jutawan yang membolehkan anda untuk membuktikan kepada orang lain yang selama ini memandang rendah kepada anda yang anda sememangnya seorang yang hebat dan mampu untuk berjaya di dalam kehidupan?

Saya amat yakin yang anda ada memasang impian untuk mencapai status elit ini.

Apa yang saya ingin katakan kepada anda di sini adalah Insya-Allah dengan fokus dan usaha yang berterusan, impian anda ini pasti akan menjadi kenyataan.

Mencapai status jutawan merupakan destinasi perjalanan anda. Apa yang perlu anda faham di sini adalah terdapat banyak jalan yang boleh anda ambil untuk tiba di destinasi tersebut. Sama seperti perjalanan kita untuk menuju destinasi yang kita inginkan di dalam Malaysia ini.

Sebagai contoh, kita ingin ke Ipoh dari Kuala Lumpur, terdapat banyak cara yang boleh kita gunakan untuk tiba ke Ipoh.

Kita mempunyai pilihan untuk berjalan kaki, menaiki basikal, menaiki bas, menaiki kereta, menaiki tren atau menaiki kapal terbang.

Kesemua cara ini akan membolehkan kita tiba di Ipoh. Bezanya cuma dari segi masa dan kos yang perlu kita keluarkan untuk menggunakan pilihan tersebut.

Perkara ini serupa di dalam perjalanan kita di dalam kehidupan untuk mencapai status jutawan.

Terdapat cara perlahan, cara yang sederhana pantas dan juga cara yang paling pantas.

Pilihannya terletak di dalam tangan kita dan kita boleh memilih cara terbaik untuk kita mencapai status jutawan ini.

Di dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan anda 3 cara yang boleh anda lakukan untuk membantu anda mencapai status jutawan.

Mari kita mulakan...

1.  Simpan Wang Berterusan

Strategi ini merupakan strategi yang paling pasti untuk berjaya sekiranya anda mempunyai disiplin untuk melakukannya.

Ia juga merupakan strategi yang dianggap paling "membosankan" kerana tidak ada apa-apa perkara menarik yang perlu anda lakukan untuk mencapai status jutawan.

Namun demikian, berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh Thomas J Stanley iaitu pengarang buku Stop Acting Rich terhadap ratusan jutawan di negara Amerika, jutawan-jutawan ini mengamalkan kehidupan yang sederhana iaitu tidak berbelanja secara berlebihan dan mengutamakan disiplin di dalam menyimpan wang pada setiap bulan.

Secara mudahnya, sekiranya kita menyimpan wang dengan jumlah yang tetap pada setiap bulan di dalam kehidupan kita, maka sudah pasti kita akan mampu mencapai tahap jutawan walaupun ianya akan mengambil sedikit masa.

Sebagai contoh, jika kita mampu menyimpan RM1000 pada setiap bulan di dalam bank atau instrumen lain seperti BSN atau Tabung Haji yang memberikan dividen tahunan sebanyak 8%, kita akan mampu mencapai tahap jutawan dalam masa 26 tahun dari masa kita bermula.

Ini bermaksud sekiranya anda mula bekerja pada umur 25 tahun, anda akan mencapai status jutawan pada umur lebih kurang 51 tahun.

Cara ini sudah pasti boleh anda lakukan asalkan anda mempunyai disiplin di dalam melakukannya dan memahami bahawa strategi ini akan mengambil masa yang panjang.

Jika anda merupakan seorang pekerja swasta, caruman anda dan majikan anda kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja boleh juga dikategorikan sebagai strategi simpanan wang ini. Jumlah keseluruhan simpanan anda akan mampu memberikan anda status jutawan.

2. Membuat Pelaburan

Sekiranya strategi menyimpan wang secara berkala tidak cukup menarik, mungkin anda boleh lakukan strategi kedua ini iaitu membuat pelaburan.

Di dalam dunia kewangan pada masa kini, terdapat pelbagai bentuk pelaburan yang boleh anda sertai. Pelaburan di sini bermaksud anda memasukkan sejumlah wang anda ke dalam sesuatu instrumen seperti saham, emas, perak atau hartanah dengan niat ingin melihat wang yang anda masukkan itu meningkat naik selepas anda menjual instrumen itu pada masa hadapan.

Sebagai contoh, jika anda melabur di dalam saham, anda boleh menjual syer saham anda selepas ia mencapai pulangan 20% atau lebih kepada jumlah wang asal yang telah anda laburkan tadi.

Jika anda melabur di dalam emas atau perak, anda boleh menjualnya selepas mencapai peratusan keuntungan yang anda inginkan semasa anda membelinya.

Pelaburan hartanah pula membolehkan anda mendapat keuntungan yang besar sekiranya nilai hartanah anda meningkat berkali ganda semasa anda menjualnya berbanding ketika anda membelinya.

Apa yang menjadi kunci di dalam strategi ini adalah anda perlu melaburkan sejumlah wang anda ke dalam pelaburan yang anda inginkan secara berterusan. Semakin besar wang yang anda laburkan maka semakin besar peluang untuk anda membuat keuntungan yang lumayan sekiranya strategi pelaburan anda berjaya.

Strategi mencapai tahap jutawan ini adalah lebih pantas berbanding dengan hanya menyimpan wang kerana peratusan keuntungan yang boleh anda capai adalah lebih tinggi berbanding dengan dividen yang boleh anda perolehi dengan hanya menyimpan wang.

3. Jalankan Bisnes

Menjalankan bisnes anda sendiri merupakan satu strategi mencapai tahap jutawan yang sudah terbukti keberkesanannya. Telah ramai jutawan di negara Malaysia ini yang lahir daripada cabaran dan kepayahan menjalankan bisnes mereka sendiri. Malah di kalangan Top 10 Billionaire di Malaysia juga merupakan di kalangan mereka yang menjalankan bisnes atau digelar usahawan.

Walaupun demikian, perjalanan sebagai seorang usahawan merupakan perjalanan yang paling sukar dan penuh risiko untuk ditempuh di dalam usaha anda memburu status jutawan. Tetapi pada hakikatnya melalui bisneslah anda mampu mencapai tahap jutawan dalam masa yang paling singkat berbanding 2 strategi sebelum ini. Hanya melalui bisneslah anda mampu mencapai peratusan keuntungan yang tinggi sehingga melebihi 50% daripada jumlah wang yang telah anda laburkan di dalam bisnes tersebut.

Sekiranya dikupas dengan lebih lanjut mengenai bisnes, terdapat pelbagai bentuk bisnes yang boleh anda lakukan pada masa kini. Anda boleh melakukan bisnes jual prepaid, MLM, produk kesihatan, produk kecantikan, pakaian muslimah, produk digital dan pelbagai strategi bisnes lain.

Apa yang diperlukan di sini adalah ilmu yang boleh membantu anda untuk mencapai kejayaan di dalam bisnes yang anda ingin ceburi itu.

Sebagai contoh, jika anda berminat untuk menjadi usahawan yang menjual produk kecantikan untuk wanita, anda perlu terlebih dahulu mengetahui cara untuk mendapatkan produk untuk anda jual semula, cara untuk mempromosikannya, sasaran pembeli dan kos atau modal yang perlu anda keluarkan terlebih dahulu untuk memulakan bisnes tersebut.

Sekiranya anda kurang memiliki ilmu yang mendalam, maka akan lebih besar risiko untuk anda gagal di dalam bisnes tersebut.

Dalam pada itu, adalah wajar untuk anda bermula secara kecil-kecilan terlebih dahulu untuk membina keyakinan dan menambah pengalaman seperti dengan melakukan secara online terlebih dahulu sebelum bertindak membuka kedai offline secara besar-besaran.

Setelah anda yakin, barulah anda patut mengembangkan bisnes anda ke tahap yang lebih besar.

Adalah wajar juga untuk anda memiliki mentor untuk membimbing anda di sepanjang perjalanan anda sebagai seorang usahawan. Mereka akan mampu memberikan saranan dan nasihat yang berguna untuk anda lebih-lebih lagi sekiranya anda menghadapi masalah.

Sebagai kesimpulan, saya amat yakin yang anda boleh mencapai status sebagai sebagai seorang jutawan. Anda cuma perlu memilih cara terbaik untuk anda mencapai status tersebut berdasarkan tahap risiko yang boleh anda tanggung dan tahap keyakinan anda di dalam strategi yang anda gunakan. Tidak ada pilihan yang betul atau salah. Kesemua pilihan anda mampu membawa anda ke arah destinasi yang anda tuju, asalkan anda fokuskan usaha anda ke arah destinasi tersebut.

Insya-Allah anda boleh berjaya! 

1 comment:

  1. Terimakasih perkongsian yang baik,dan dpt menambah pengetahuan

    ReplyDelete